5 Situasi Getir Seorang Pelabur Baru Dalam Bidang Hartanah Yang Mesti Di Lalui

5 Situasi Getir Seorang Pelabur Baru Dalam Bidang Hartanah Yang Mesti Di Lalui

Semasa menghadiri kursus tentang pelaburan hartanah, anda akan sangat teruja untuk membuat pelaburan itu, segera!

Tidak sabar-sabar rasanya mahu memulakan pelaburan itu walaupun kursus itu masih lagi sedang berjalan.

Begitulah dia betapa bersemangatnya anda bilamana mendengar taklimat yang dapat menyentuh perasaan kita bahawa pelaburan itu sangat menguntungkan jika kita bijak merancang dan bertindak. Itulah pesanan penceramah di akhir sesi penutup kursusnya.

Realitinya, inilah yang akan berlaku…..

Situasi Pertama: semangat anda akan mula menyusut setelah hari demi hari anda masih belum lagi bertindak kerana anda merasakan kesuntukan masa pula setelah tamat kursus. Ini kerana anda sedang disibukkan oleh kerja-kerja bagi mengkayakan orang lain, iaitu majikan anda!

Semangat anda mula luntur sama seperti terpalitnya tahi ayam yang baru sahaja terkeluar dari punggung ayam yang tersenak perutnya. Hangatnya semangat anda sama sepertimana hangatnya tahi ayam itu. Cepat pula ia menyejuk!

Anda gagal memulakan langkah kedua untuk meluangkan waktu bagi bertindak ke atas nasihat penceramah itu untuk mula meneroka dan mencari peluang pelaburan itu.

Langkah pertama, anda sudah mampu mengatasinya, anda sudah berjaya memaksa diri menghadiri kursus itu setelah berpuluh-puluh kali didesak oleh rakan seperjuangan anda yang tidak jemu-jemu untuk melihat anda berjaya sepertinya. Beliau sangat prihatin di atas situasi anda yang sering memandang remeh soal masa depan diri anda sendiri.

Situasi Kedua: anda mungkin sudahpun berjaya mengambil tindakan mendapatkan pelaburan pertama anda iaitu membeli sebuah rumah apartmen dengan membayar 10% daripada harga jualan pelaburan pertama anda itu! Tidak kiralah melalui jualan ‘subsale’ atau lelongan, tahniah diucapkan kepada anda!

Namun, situasi ketiga yang akan anda tempohi adalah bergelut dengan perasaan sendiri. Anda mula meragui tindakan anda itu!

– Betul ke tindakan aku ini?
– Kalau rugi macamana?
– Mengapalah aku berada dalam situasi sukar begini?
– Sepuloh peratus dah hangus, patut ke aku teruskan?
– Kenapalah aku ikut kehendak rakan aku sorang ni? Kan dah susah!
– Duit nak keluar lagi nanti nak bayar peguam pulak!
– Betul ke ni, kenapa rasa macam mimpi ngeri ni?
– Oh! tidak, oh! tidak, aku bukan bermimpi ni, ini realiti!

Anda mungkin berpeluh-peluh melalui situasi ini. Anda mula menanam benih kemarahan anda kepada rakan yang mengheret anda ke dalam dunia pelaburan yang penuh dengan pancaroba dan tipu daya. Lebih mendebarkan, perasaan-perasaan negatif anda mula kembali menghantui fikiran anda apabila teringatkan banyaknya tipu helah dan betapa mudahnya terpedaya dek kerana membuat perhitungan yang salah dalam melabur! Perasaan marah anda kian menebal. Sebebal fikiran negatif anda itu yang sedang berusaha cuba menakut-nakutkan anda!

Oops! nanti dulu!

Saya menasihatkan anda, berhenti sebentar dan tarik nafas panjang terlebih dahulu sebelum perasaan marah anda itu membara menjadi api. Anda perlu ingat bahawa rakan anda itu tidak bersalah malah dia melakukannya kerana sayangkan anda! Dia telah mengorbankan masa dan tenaganya demi melihat kejayaan anda. Dia tidak ada kepentingan pun dalam pelaburan anda itu malah anda sendiri pun tidak mahu menghulurkan apa-apa komisyen di atas nasihatnya itu dahulu. Jadi, jangan anda mengambil langkah mudah untuk menyalahkan orang lain dalam pelaburan anda itu. Itulah peranan syaitan yang ingin melihat anda gagal dan sekali gus cuba memutuskan hubungan silaturrahim anda itu!

Beristghfarlah banyak-banyak dahulu pada peringkat ini jika anda sedang melaluinya!

Astaghfirrullahalazim…

Apabila keadaan semakin reda dan sensasi fikiran anda mula kembali normal, mulakan langkah seterusnya!

Dan langkah keempat, anda mungkin tersedar di atas nasihat penceramah semasa menghadiri kursus tempohari.

“Jika anda sudah belajar cara bagaimana mahu melabur dengan cara yang betul, anda tidak perlu bimbang soal kerugian kerana saya pasti anda telah bertindak dengan cara yang bijak dengan membuat perkiraan terlebih dahulu tentang pelaburan itu”, pesannya itu. Dalam ertikata lain, anda telah mengambilkira ‘calculated risk’.

“Perkiraan risiko dalam membuat pelaburan tersebut akan memberi kita keyakinan yang tinggi bahawa pelaburan kita itu tidak membawa bencana!”, itulah pesanan terakhir yang terngiang-ngiang di telinga anda. Anda mula tersenyum!

Ya, anda telah melakukan itu semua! Anda sudah membuat semakan permintaan pasaran, anda sudah mengira ROInya iaitu mengira pulangan modal pelaburannya. Anda sudah tahu berapa nila sewanya. Anda sudah bersedia dengan segala macam dokumentasi untuk berhadapan dengan pihak bank, anda sudah bersedia dengan kemampuan kewangan sedia ada dan lebih penting, sebenarnya, anda sudah pun bertindak membelinya!

Mengapa pula aku mesti berperasaan berkecelaru, berkecamuk tak tentu hala bila berbicara soal wang? Ya sudah pastinya, anda memang sayangkan wang anda sepertimana anda sayangkan nyawa anda!

Bagi saya, perasaan itu tidak salah tetapi perasaan emosi yang tidak terkawal itu yang salah. Adat orang mula-mula melabur, itu biasalah! Perasaan kesal, bersalah, keliru, runsing, murung, terasa bodoh, merasa tertipu, terasa ditipu dan rasa terancam semua ini bermain di dalam benak fikiran kepala pelabur pertama.

Dan lebih teruk keadaannya, anda tidak boleh tidur lena berhari-hari lamanya!

Jadi anda tidak terkecuali! Usah bimbang.

Nikmatilah perasaan ini kerana ianya tetap akan berlaku dalam situasi lain setiap kali anda memulakan apa-apa pelaburan baru selepas ini. Menjiwai kesukaran ini bermakna anda akan terbiasa kepada perasaan negatif tersebut dan dapat mengawalnya. Alah bisa tegal biasa!

Dan langkah kelima seterusnya, anda bertindak dengan lebih rasional. Anda terus menguruskan pelaburan pertama anda dengan yakin bahawa jika anda tidak yakin kepada diri sendiri, siapa pula yang akan meyakini diri anda?

Anda jangan ingat, kerana anda, orang lain sanggup ada masa untuk sakit kepala?

Ianya berbalik kepada soal diri sendiri bukan orang lain. Cumanya anda bernasib baik kerana mempunyai sahabat yang bergelar teman di masa senang dan teman di masa susah itu, tidak jemu-jemu menasihati anda!

Alhamdulillah, anda sudah melengkapkan pelaburan anda yang pertama. Tahniah saya ucapkan! Percayalah selepas beberapa tahun pelaburan ini anda lakukan, anda akan berkata, “Nasib baik aku bertindak dahulu, sekarang nilai rumah sudah meningkat 50%, yang seronoknya orang lain yang membayar ansurannya”.

Menyingkap kembali bagaimana anda boleh terjebak dalam dunia pelaburan adalah merupakan satu tindakan yang betul dan terbaik dalam hidup anda.

Jangan sesekali anda meragui tindakan itu. Ini kerana tidak bertindak itu lebih merugikan.

Jom saya rungkaikan dalam satu ayat nasihat jika anda tidak bertindak lagi.

Seperti yang pernah saya katakan terdahulu di dalam buku pertama saya, jika anda masih tidak bertindak untuk melabur maka simpanan anda pasti dimamah inflasi dan nilainya mengecut dari masa ke semasa.

Anda perlukan initiatif yang kuat dengan hanya perlu bertindak kreatif, bijak, agresif, berdisplin, berjatidiri dan berilmu.

Jika tidak bertindak, anda mungkin seorang yang pasif, ignoren, tidak prihatin, pentingkan diri, kurang bijak, tidak agresif, tidak positif, minda yang kurang cerdas dan suka menunggu untuk melihat apa yang orang lain akan lakukan dahulu. Ini tindakan yang tidak baik.

Anda perasan tak saya menggunakan perkataan-perkataan yang lembut untuk menggambarkan seseorang yang tidak bertindak untuk melabur? Untuk memujuk, katakan!

Jika saya menggunakan perkataan-perkataan seperti bodoh, tamak, bengap, dungu, lembam, lembab, dayus, tongong, bangang untuk menggambarnya sudah tentu selepas ini, anda pun tidak mahu mendengar nasihat saya lagi.

Jom kita sambung lagi pelajaran kita seterusnya….

Wan Roslan
Penulis Buku IQ WANG ORANG KAYA
iqwang.com.my

Facebook Comments
Close Menu