Jangan mudah bergantung kepada perniagaan dan kewangan pasangan semata-mata, ini yang wanita wajib lakukan.
Jangan mudah bergantung kepada perniagaan dan kewangan pasangan semata-mata

Jangan mudah bergantung kepada perniagaan dan kewangan pasangan semata-mata, ini yang wanita wajib lakukan.

Assalamualaikum semua..

Sementara saya menunggu di lapangan terbang Changi di Singapura tempohari, sempatlah saya buat catatan untuk buku kedua saya nanti yang saya ingin kongsikannya sekarang kepada anda! topiknya hangat, “Jangan mudah bergantung kepada perniagaan dan kewangan pasangan semata-mata”!

Anda tidak semestinya mudah bergantung harap kepada pasangan untuk menyara kehidupan diri anda. Ramai terutama pihak isteri sangat kebergantungan kepada si suami semata-mata hanya kerana menganggap cinta tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, kononnya!

(Tentulah cinta tidak boleh dibeli dengan wang ringgit kerana nilainya sekarang ini sedang rendah. Bagaimana jika saya mengatakan bahawa cinta boleh dibeli dengan wang dolar, wang paun, ataupun wang euro? Boleh berubah cinta kita itu! Wang dolar atau suami?)

Hanya cinta buta sahaja yang masih mengatakan bahawa cinta itu segala-galanya. Tunggulah bila hujan ribut itu melanda. Saya bukan mendoakan cuma saya ingin mengingatkan sahaja!

Lihatlah berapa banyak penceraian yang telah berlaku dan sang suami tidak mahu menghulur nafkah kepada isteri yang diceraikan dan anak-anak yang ditinggalkan atas banyak alasan yang mereka tidak mahu membayarnya.

Pertama, disebabkan ilmu keagamaannya kurang menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara dosa dan pahala.

Alasan kerana isteri curang, isteri bermain kayu tiga, isteri tidak pandai melayan suami, isteri kuat membebel, isteri tidak dapat menuruti kata suami atau berpuluh lagi alasan yang diciptakan bagi tidak menjayakan untuk membayar nafkah.

Sebenarnya, alasan kebanyakan mereka-mereka ini adalah kerana tidak mendapat keizinan atau tidak mendapat restu dari isteri-isteri untuk berkahwin lagi maka mereka menceraikannya. Walhal mereka sendiri pun zalim kepada keluarga sendiri. Tidak cukup memberi nafkah kepada keluarga. Ada hati nak kahwin lagi!

Islam menggalakkan poligami hukumnya tidak haram tetapi bersyarat. Isteri ada sebab untuk tidak melepaskannya kerana tidak rela membahagikan kasih sayang. Tidak rela bermadu, katakan!

Kata orang, isteri mendapat payung emas di syurga nanti kalau mengizinkan! Itu kata suami yang nak tambah cawangan sebenarnya. Tapi mereka lupa isterinya pun ingin berkata-kata jugak, “Abang nak kapak emas tak? Tak payah nak tunggu kat syurga, Ayang boleh carikan sekarang ni jugak!”.

Apapun alasan kedua-dua pihak, (saya tidak mahu masuk campur urusan keluarga orang lain) baik suami atau isteri, saya ingin mengingatkan sekali lagi, apakah persediaan jaminan kewangan anda selepas berpisah? Anda sudah bersedia hidup miskin dan terbuang atau anda rasa dunia ini anda yang punya kerana mendapat isteri muda baru?

Jika akaun si suami boleh dibekukan atas nama undang-undang dan isteri serta anak-anak hidup melarat kerana tiada punca pendapatan selepas diceraikan, adakah ini yang kita mahukan di dalam kehidupan yang sementara ini? Kedua-duanya tidak mendapat manfaat, untuk sementara waktu, selagi ianya belum mendapat jalan penyelesaian.

Adakah anda sebagai pasangan sudah bersedia menghadapinya? Atau anda yakin perkara ini tidak akan berlaku kepada anda? Dan anda berharap ianya hanya berlaku kepada orang lain yang tidak pandai menjaga keharmonian rumahtangga?

Anda silap BESAR!

Tahukah anda bahawa baru-baru ini kerajaan sedang berusaha merangka polisi untuk membekukan akaun bank kepada sang suami yang engkar membayar nafkah isteri? Tapi ini baru diperingkat cadangan. Bertahun lagi perkara ini boleh dilakukan bagi melindungi para isteri yang teranaiya atau menjadi janda atas sebab penceraian. Dan sang isteri jangan pula terlalu gembira dengan berita ini.

Yang penting, kita nak menyuap makanan ke dalam mulut anak-anak sekarang, bukan bulan depan atau tahun depan.

Sudah bersedia dengan musibah ini? Jika anda mendengar nasihat saya dulu, bolehlah gunakan duit simpanan itu, waktu kecemasan. Jika tidak, adakah anda sanggup melihat anak-anak mati kelaparan? Bunyi macam kasar tetapi selagi tidak terantuk kita tidak akan sedar.

Jadi apakah penyelesaiannya? Sudah tentu jika saya sebagai penasihat rumahtangga akan menyarankan supaya anda tidak atau jangan bercerai!

Jadi saya menyarankan atas nama kasih sayang, pasangan bersiap sedia dengan menyediakan pelan keharmonian rumahtangga dengan memberi perlindungan kepada pasangan masing-masing semasa kasih sayang kita masih lagi memuncak tinggi.

Memberi wang kepada pasangan kita secukupnya! Jika wang boleh membutakan mata mereka, belilah satu pelan pelaburan yang boleh menjamin masa depan mereka. Setidak-tidaknya inilah petunjuknya bahawa kita sayangkan pasangan kita itu! Bila sudah berlaku ribut petir dan angin taufan, kapal kita masih berupaya untuk melayari bahtera mahkota yang kita pernah bina sebelum ini.

Jangan kita berharap jika berlaku penceraian maka pasangan masing-masing dengan rela hati membuat pelan pelaburan untuk kita lagi bagi menjaga bahtera yang sudah mula karam!

Pelaburan apa yang boleh memberi jaminan kewangan, ya? “Anda membisik ke telinga saya”, inginkan kepastian.Saya tidak boleh menjawabnya untuk anda bahkan pihak insuran pun tiada perlindungan di atas penceraian yang berlaku. Atau pun saya tidak tahu, pelan insuran itu telah wujud?

Balik kepada soalan tadi, saya hanya boleh menyarankan, Jangan terlalu mudah bergantung kepada perniagaan dan kewangan pasangan semata-mata, kita wajib ada ilmu kewangan, ilmu perniagaan, ilmu bisnes,  ya, IQ WANG!. Itu saja yang boleh saya tolong!

Wan Roslan Wan Salleh
www.iqwang.com.my

Facebook Comments
Close Menu